Negritude
merupakan sebuah pergerakan yang di asaskan pada tahun 1934 di Paris, Perancis
oleh tiga orang pelajar. Kisah bermula apabila Leopold Sedar Senghor, Leon
Damas dan Aime Cesaire menubuhkan jurnal yang berjudul L’Etudient Noir. Perkataan Negritude telah wujud buat pertama
kalinya di dalam jurnal ini. Menurut Syilvia Washington (1973), L’Etudient Noir telah ditujukan kepada
semua masyarakat berkulit hitam dan boleh dilihat pada petikan berikut:
“If the two reviews had know the
same influences they differed nevertheless on several points. L’Etudient Noir asserted the priority as
well as the primacy of the cultural reality.”
Menurut Syilvia Washington (1973)
lagi, kewujudan idea Negritude ini juga berdasarkan perasaan terbuang dan rasa
terasing beberapa orang pelajar di Perancis yang berasal dari negara Afrika
mahupun Pan-Afrika. Mereka
ini terdiri daripada bangsa asal Afrika dan Pan-Afrika. Kehidupan mereka tidak
tenang kerana seringkali dijadikan alat diskriminasi oleh masyarakat berkulit
putih. Oleh itu, mereka bangkit untuk menuntut keadilan terhadap bangsa mereka
yang selama ini dipandang hina dan rendah.
Situasi di atas juga dapat dilihat
melalui kata-kata yang disampaikan oleh Thomas Hodgkin yang telah dipetik oleh
R.N.Egudu (1978) di mana beliau percaya
bahawa orang Negro di dunia ini membawa nilai yang tertentu dan tuntutan nilai
ini adalah disebabkan oleh emansipasi Negro yang dibentuk melalui diskriminasi
bangsa dan penganiayaan yang dikenakan terhadap mereka.
Menggunakan
ideologi Negritude, golongan ini menggerakkan satu pergerakan yang di bentuk untuk mewakili suara orang
berkulit hitam bagi memperjuangkan hak mereka yang sebenar. Medium
kesusasteraan digunakan untuk menyampaikan ideologi ini di mana elemen-elemen
Negritude dimasukkan ke dalam karya kesusasteraan. Pergerakan
yang kompleks ini mengutuk kolonialisme dan menolak dominasi barat dan
mempromosikan penerimaan diri sebagai manusia berkulit hitam serta kesedaran
pada setiap orang berkulit hitam yang sebenarnya mereka milik kepada bangsa
berkulit hitam serta tidak keseorangan. Selain itu, mereka juga cuba mengekang
proses asimilasi yang dikenakan ke atas mereka oleh penjajah Barat.
![]() |
Simbolik kepada Negritude. |
Proses asimilasi yang dimaksudkan
ialah lebih kepada penghapusan identiti bangsa masyarakat Afrika itu sendiri.
Oleh sebab itu, menurut R.N. Egudu (1978) beliau menyatakan bahawa Senghor
telah meluaskan definisi Negritude. Salah satunya ialah, doktrinisasi
indentiti. Melalui doktrinisasi ini, bangsa Afrika akan mempunyai identiti yang
kukuh dan tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang dibawa barat kerana
apabila mereka mula mengenal identiti bangsa maka semangat sayangkan bangsa
akan terus subur di hati mereka.
Masyarakat Afrika misalnya mempunyai
kepercayaan mereka yang tersendiri berbeza dengan masyarakat di tempat lain.
Contoh yang boleh dilihat ialah kepercayaan mengenai kematian. R.N. Egudu
(1978) berkata bahawa idea berkenaan
kematian tidaklah dikaitkan dengan sesuatu yang seram. Mereka percaya bahawa
nenek moyang yang sudah meninggalkan merupakan penjaga kepada ketatasusilaan
mereka di mana nenek moyang akan menjadi penunjuk arah dan pelindung. Perkara
ini menunjukkan sebuah bangsa yang kaya dengan kepercayaan yang tersendiri dan
perkara ini yang cuba ditonjolkan oleh Senghor dan rakan-rakannya.
Menurut R.N. Egudu (1978) lagi, pemuisi yang mahu menulis berkaitan
Afrika perlulah menunjukkan puisi yang mengandungi sesuatu yang kaya dan
bernilai dalam kebudayaan dan alam sekitarnya. Perkara ini membantu dalam
mewujudkan dan menunjukkan kepada dunia serta masyarakat Afrika itu sendiri
bahawa nilai kemanusiaan dan budaya mereka sememangnya wujud dan tidak seperti
yang diperkatakan oleh Barat. Secara keseluruhannya, konsep dan
pergerakan Negritude ini adalah untuk menaikkan semangat bangsa.
No comments:
Post a Comment